...:::SniperBlogs:::...

Ya Allah, berkatilah kehidupanku seharian, Ya Rahman, Permudahkanlah urusanku, Ya Rahim, Berkatilah segala pekerjaan ku yang tidak melanggar hukum mu. Bismillahirrahmanirrahimm..

Thursday, December 02, 2004

PANAS.... PANAS.... PANAS....

Ini adalah berita panas dua akhbar utama malaysia hari ini... selidik dan kita tunggu dan lihat..

PETALING JAYA: Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mengaku tidak bersalah atas tuduhan memfitnah penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin, menerusi e-mel, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.

SHARIFAH Aini tersenyum
kepada jurugambar sebaik
beliau dibawa keluar
dari Mahkamah Majistret
Petaling Jaya, semalam.
– Gambar oleh Muhaizan Yahya


Sharifah Aini, 51, didakwa membuat fitnah itu menerusi e-mel kepada pensyarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Pulau Pinang, Ahmed Shaharil Jamaludin, dengan niat untuk merosakkan reputasi Siti Nurhaliza.

Sementara itu di Pulau Pinang, Ahmed Shaharil, 36, yang juga adik angkat Sharifah Aini, didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, atas tiga tuduhan menyebarkan e-mel memfitnah Siti Nurhaliza kepada tiga wartawan tempatan, juga bertujuan merosakkan reputasi penyanyi itu.

Dia dituduh menyebarkan e-mel itu kepada wartawan hiburan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain; wartawan hiburan Harian Metro, Abdullah Mamat dan wartawan hiburan New Straits Times, Faridul Anwar Farinordin, semuanya pada Ogos lalu.

Biduanita itu dan Ahmad Shaharil, yang juga dikatakan presiden kelab peminatnya, dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sharifah Aini didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 42, Lorong Utara di sini pada jam 4.52 petang, 24 Ogos lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sri Dewi Malam itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 2.20 petang memakai baju kurung berwarna krim corak bunga dengan menaiki kereta Mercedes Benz warna kelabu dengan nombor pendaftaran BDU 2.

Sebaik tiba, dia dikerumuni berpuluh-puluh jurugambar termasuk daripada agensi berita asing untuk merakam wajahnya sebelum dibawa masuk ke dalam bangunan mahkamah. Turut serta penyokong setianya yang berpusu-pusu untuk melihat wajahnya dari dekat sehingga menyebabkan beberapa jurugambar terjatuh.

Sharifah Aini kelihatan tenang dan senyum sebaik keluar dari kereta, sambil melambai ke arah wartawan dan penyokongnya.

“Terima kasih kerana datang, doakan semoga saya berjaya,” katanya kepada orang ramai ketika dibawa masuk ke pejabat mahkamah.

Sharifah Aini kemudian diiringi peguamnya, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, dan beberapa anggota polis masuk ke bangunan mahkamah.

Ketika tuduhan dibacakan, Sharifah Aini berdiri di luar kandang tertuduh kerana kesnya adalah kes saman.

Dia ketawa apabila jurubahasa mahkamah, Dayang Mas Ayu Nilawati Mohd Nor, menyebut perkataan ‘senduk penyek’, ketika tuduhan dibacakan terhadapnya

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kanan, Asisten Superintendan Moktar Mohd Nor manakala Sharifah diwakili Muhammad Shafee dan Badrul Munir Mohd Bukhari.

Majistret Azroul Hisham Azulan membenarkan penyanyi itu diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember ini untuk kes itu disebut semula.

Rakan Sharifah Aini, Khalilah Datuk Mohd Talha, membayar jaminan itu. Sharifah Aini meninggalkan bangunan mahkamah melalui pintu belakang dan dilihat keluar dari pekarangannya menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam pada jam 3.48.

Terdahulu, Moktar menawarkan jaminan RM6,000 dan memohon mahkamah tidak menurunkan jumlah itu kerana menyifatkannya munasabah serta kes berkenaan menarik perhatian umum.

Beliau turut memohon agar kes itu dibicarakan bersama dengan kes Ahmed Shaharil yang didakwa di Pulau Pinang.

Shafee bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 kerana jumlah itu biasa bagi kes saman seperti itu.

Beliau juga membantah kes itu dibicarakan bersama kes Ahmed Shaharil kerana kedua-duanya membabitkan dakwaan yang berbeza.

“Persoalan sama ada kes ini mahu dibicarakan bersama dengan kes di Pulau Pinang, boleh diputuskan pada masa lain,” katanya.

Shafee juga memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan anak guamnya yang memohon agar kes itu dapat dibicarakan secepat mungkin.

“Kes ini mendapat publisiti meluas yang secara tidak langsung boleh mendatangkan mudarat kepada anak guam saya,” katanya.

Dalam kes Ahmed Shaharil, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rantai Giling meminta ikat jamin ditetapkan kepada RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan.

Peguam Ahmed Shaharil, Danny C Navarendram dan V Sivagurupatham, memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu kerana anak guam mereka mempunyai alamat tetap dan tidak akan melarikan diri serta dilepaskan dengan ikat jamin polis RM3,000 sejak 6 Oktober lalu, selepas ditahan 26 September lalu, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Majistret Priscilla H N Rajan menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan dan memerintahkan 26 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan. Ahmed Shaharil membayar jamin itu.

Isu fitnah terhadap Siti Nurhaliza timbul berikutan e-mel layang yang dikatakan ditulis dan dihantar oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai `Asmah & The Gang' dari Astro, Ogos lalu.

Berikutan itu, polis memulakan siasatan yang turut membabitkan soal siasat daripada beberapa individu, termasuk artis dan wartawan hiburan tempatan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home